Monday 15 November 2010

Esok Hari Raya Haji @ Hari Raya Korban

Assalamualaikum..

Ayah masih menanti waktu melawat. Semakin hari di IJN ayah semakin rasa tidak produktif. Tidur x lelap. Badan bisa-bisa. Fikir tentang kerja, fikir tentang anak-anak kat rumah dan lain-lain.

Kebiasaannya Raya haji kami sekeluarga akan balik kampung. Confirm seminggu akan bercuti bawak ank-anak jalan-jalan balik atok mereka. Tahun ni raya di IJN lah jawabnya.

Mengenangkan Raya Haji teringat Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Macamana kasih bapa terhadap anaknya, kasih anak terhadap bapa serta ketaatan terhadap perintah tuhan sanggup berkorban apa saja. Simboliknya, tuhan menukarkan ketetapan itu kepada seekor binatang..Maka terkorbanlah binatang itu menggantikan Nabi Ismail.

Ibadah korban dilakukan sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah ALLAH. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka ALLAH telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh ALLAH sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya ALLAH, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.
Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (KAMI sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah KAMI).
Lantas KAMI menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta KAMI kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian." – Surah al-Soffaat: 101-108.

Rentetan dari peristiwa ini, saban tahun ketika merayakan hari raya Aidiladha maka umat Islam menyembelih binatang-bintang korban lalu mengagih-agihkannya kepada golongan yang kurang bernasib-baik seperti orang miskin, anak yatim, orang Islam yang sedang ditimpa musibah dan lain-lain lagi.

Tahun ini ayah buat Aqiqah untuk 2 orang iaitu Altaf dan Aqli. Ajwad dah buat Aqiqah, ketika itu di Masjid Felda Lubuk Merbau, Pendang Kedah. Majlis dirasmikan oleh Sultan Kedah. Ayah azam mulai tahun akan datang ayah akan menjalankan ibadah korban pula sebagai aktiviti tahunan keluarga kita yang kecil ini.

Menjadi teman ayah di IJN ialah rakan-rakan seperjuangan lain, Ada yang menanti anak, bapa, ibu, saudara di ICU. Rasanya mereka kan beraya di IJN. Kalau direnung dalam mata mereka, penuh dengan harapan agar mereka dapat pulang bersama keluar dari IJN. Walaubagaimanapun ada juga ketikanya 'Code Blue' terpasang, menandakan ada kematian. Maka mereka redha dengan ketentuanya, pulang ke kampung halaman bersama kereta mayat. Begitulah kesemua mereka yang berada di IJN menanti dengan penuh harapan dan doa.

Di surau pula, ayah selalu terserempak dengan beberapa orang ayah atau anak melaksanakan solat sunat sepertiga malam memohon kepada Allah agar dipermudahkan jalan dan selamatkanlah keluarga mereka. Ameen ya robbal allamin muga diperkenankan Allah doa-doa kami.

Suasana di IJN begitu sejuk sekali, malam tadi ayah dan ibu tidur di kerusi bilik menunggu. Sejuk hingga ke tulang...Lepas sembahyang malam..ayah cuba tidur lagi..ayah menggigil sampai ke pagi...Walau bagaimanapun ini perkara kecil sahaja..Ajwad kat dalam ICU lagi besar cabarannya..so ayah buat tak tau je lah sejuk ke..nyamuk ke..buat x endah je lah..

Semuga Raya Korban tahun ini memberikan keinsafan kepada kita semua..semuga bertambah ketaatan kita kepada Allah dan kita lebih bersyukur dalam kehidupan ini. Ameen. Robbal Allamin..Segala Puji Bagi Allah Tuhan yang Mencipta sekelian alam..Engkau Maha Besar Maha Agung, Maha Pengasih dan Penyayang..Segala puji bagi mu Ya Allah....Aku sujud kepada mu ya Allah.

No comments:

Post a Comment