Sunday, 26 April 2009

Ajwad Masuk Pakaian Beragam






Pada 17 & 18 April lepas. Restoren tempat ibu bekerja mengadakan Family day di Langkawi. Yang menariknya semuanya di sponsor oleh syarikat. Menurut Ibu tukang jaga akaun, di anggarkan sebanyak RM 42 ribu telah dibelanjakan untuk projek tersebut. Semuga restoren itu bertambah murah rezki. Dengar cerita kalu tahun ni sale bagus company akan sponsor pi Sabah. Selama Lapan tahun Ayah jd MC untuk family day company tuh. Tapi tahun ni ayah relaks je sbb nak makan dgn tenang dan mengelolakan anak-anak masuk pertandingan pakaian beragam.

Tema tahun ni Bollywood dan batik. Kami pun pi pinjam baju member. Ayah dapat pakai baju kahwin punjabi Ibu pun pakai punjab suit. Altaf style Khashmir, Ajwad dan Aqli bollywood tradisional.

Nak jadi cerita ayah dan Altaf Juara, Ibu tempat ketiga dan Ajwad saguhati. Kami bawak balik Total RM600 dari kemenangan itu. Inilah gambar Juara...

27 April 2009 - Ajwad masuk IJN semula

Esok Ajwad dijadualkan untuk masuk semula ke IJN untuk buat Ujian Cardiac Catheterization yang akan di lakukan pada 28 April 2009. Hati ini sentiasa berdebar takut dengan apa yang akan berlaku nanti. Ajwad tgh selsema..silap-silap balik je nanti. Ini kerana IJN biasanya , kalau budak tak sihat dia tak kan buat apa-apa pun. Mereka mahu budak tu fit untuk segala ujian dan pembedahan. Semuga anakku selamat. AMIN.

Friday, 13 March 2009

16/12/2003- Peluang Kedua

Pagi itu ayah pergi ke hospital dengan perasaan yang bercampur baur. Semalam pihak IJN memberitahu akan meminta ambulan dari GH Klang untuk mengambil Ajwad semula memandang IJN menganggap kes ini konservatif. Semalaman tidak dapat tidur mengenangkan nasib anak. Bermacam soalan bermain di kepala. Ayah berazam, walaupun jarak masa yang singkat bersama Ajwad ayah mahu setiap detik masa itu ayah dapat memberikan sepenuh kasih sayang kepada beliau. Jika pun tuhan mahu mengambilnya dalam masa terdekat ini, ayah tidak mahu berasa menyesal. Sebaik sahaja sampai di IJN ayah dapat berjumpa dengan Dr Faizah. Dengan tersenyum beliau berkata, selepas subuh mereka telah membuat echo dan meneliti semula keadaan jantung Ajwad. Alhamdulillah, mereka telah menjumpai saluran yang dikatakan tiada itu, Saluran tersebut tersangat halus di antara jantung dan paru-parunya. Pada awalnya saluran tersebut tidak wujud semasa mereka melakukan ujian Cardio Cath. Syukur pada Allah yang maha Esa kerana memberi jalan kepada Ajwad. Namun Dr menyatakan bahawa ini perlu dibincangkan semula dengan semua pakar lain. Ayah begitu gembira dengan kata-kata Dr itu. Ayah tidak sangka masih ada jalan lagi untuk anak ayah meneruskan kehidupannya yang pastinya sangat mencabar. Ayah terus menelefon ibu untuk beritahu tentang perkara ini. Ibu gembira sekali. Ayah pun ke tempat kerja kerana cuti telah tamat.

Tengahari ayah datang semula melawat Ajwad bersama rakan sekerja. Ayah mengambil kesempatan untuk berjumpa Dr Faizah dan Dr. Getha. Dr. Getha merupakan Pakar Perunding Jantung bagi kanak-kanak. Mereka memaklumkan bahawa kadang-kadang prosedur Cardio Cath tidak cukup dan memerlukan prosedur lain untuk mengesahkan dianogsis. Tindakan mereka untuk double check dengan menggunakan prosedur echo telah berjaya mengenalpasti saluran halus di antara jantung dan paru-parunya. Kemungkinan besar mereka akan memasukkan tiub pada saluran yang sempit itu. Walaubagaimanapun, menurut Dr. Getha saluran Ajwad hanya 2.5mm-2.8 mm sedangkan tiub dan yg available yang paling kecil ialah 3.0mm. Perkara ini akan dirujuk kepada pakar bedah. Buat masa ini mereka akan cuba mengeluarkan saluran ventilator dari dalam mulut Ajwad supaya boleh belajar bernafas sendiri. Tengah hari tu ramai rakan sekerja melawat Ajwad.

Petang, dengan menaiki EX5 Honda, ayah bergegas ke IJN untuk melawat Ajwad. Tanpa menghiraukan hujan ketika itu ayah terus menunggang dengan dihati berasa penuh harapan semuga UJN dapat membantu Ajwad dengan izin Allah. Sampai disana ayah terus ke wad CCU, ayah dapati tiub ventilator telah dikeluarkan. IJN sedang mengajar Ajwad bernafas menggunakan hidung. Nampak kesukaran bernafas pada riak wajahnya.

Tuesday, 10 March 2009

15/12/2003 - Cardio Cath

Waktu sekarang menunjukkan pukul 2.30 pagi. Ayah bangun sembahyang hajat memohon agar tuhan memudahkan jalan untuk anak tersayang.

Dr. Khairul Faizah merupkan seorang dr yang sangat baik hati dan begitu mengambil berat tentang pesakitnya. Beliau juga ketika memberikan penerangan kepada kami, dengan sedaya upaya cuba mengolah bahasanya agar tidak menakutkan kami. Namun kami mmg sudah sedia merasa gementar dan takut akan kehilangan anak kami. Dr Faizah menerangkan kepada kami tentang risiko prosedur cardiac-catheterization. Ada kemungkinan ketika prosedur dijalankan mungkin akan ada pendarahan yang banyak serta risko ubat bius yang kuat.

Menurut dr, apabila prosedur Echo di jalankan mereka dapati saluran utama yang menghubungkan jantung ke paru-parunya terlalu sempit seolah-olah seperti tidak kelihatan. Manakala terdapat lubang diantara 2 chamber jantungnya. Ini terjadi kerana darah tidak dapat keluar saluran yang sempit itu maka Tuhan menjadikan lubang tersebut supaya terus ke jantung kanan agar jantung dikirinya tidak 'burst' akibat tekanan darah yang tidak dapat lalu keparu-parunya. Akibat nya darah biru tersebut tidak dapat diproses dan menyebabkan baby akan menjadi biru kerana darah tersebut tidak dapat diproses oleh paru-paru untuk dibekalkan oksigen di dalamnya. Kerana saluran utama itu seakan tiada, Ajwad mempunyai banyak saluran halus ke parunya yang tiada pada manusia normal lain. Ini sedikit sebanyak telah membantu Ajwad untuk survive setakat ini. Kejadian jantung seperti ini dinamakan Tetralogy of Fallot (TOF). Namun begitu, ini akan mengakibatkan satu risiko lain iaitu paru-parunya akan basah terlampau yang akhirnya akan berlaku kerosakan paru-paru pula. Adalah lebih risiko kerana Ajwad tidak boleh bernafas sendiri melainkan dengan bantuan ventilator sahaja. Cardio Cath diperlukan untuk melihat dengan lebih detail untuk merancang prosedur seterusnya. Ajwad masuk operation theater untuk Cardio cath pada pukul 5.30 ptg dan keluar pada pukul 6.55 ptg.

Pukul 9.30 mlm kami berjumpa dengan Dr Faizah untuk bertanyakan keputusan prosidur tersebut. Ketua pakar mengatakan kes ini adalah kes konservatif maknanya dah tak leh buat apa-apa lagi. Ajwad mungkin akan dihantar ke GH Klang semula. Kami tanya sampai bila..Ajwad akan bagitu dan tidak adakah jalan lain untuk selesaikan masalahnya. Dr jawab maaf tiada. Seorang dr lagi menyatakan hidupnya mungkin tidak lama paling awal 3 bulan paling lewat setahun Ajwad akan berada bersama kami. Malam itu kami pulang ke rumah dengan tangisan yang berjurai. Sepanjang perjalanan ayah dan ibu mengalirkan air mata dan tidak berkata apa-apa. Kepala ayah ligat berpusing memikirkan kata-kata dr tersebut serta apa pula tindakan ayah selepas ini. Berdiam diri atau sebaliknya..Wallahualam. Ayah risau mengenangkan Ibu yg baru 2 minggu dalam pantang takut bentan pulak. Malam itu ibu menangis sampai ke pagi sehingga bengkak matanya. Dan ayah seperti biasa tabahkan hati dan bersedia dengan apa yang akan berlaku nanti. Ayah bangun pagi lagi untuk sembahyang hajat dan berdoa semoga Allah SWT memberi jalan kepada Ahmad Ajwad Aqwa.

14/12/2003 - Unit Rawatan Rapi Kronorari, IJN (CCU)

Di pagi yang hening, Ibu dan Ajwad dikejarkan ke IJN menaiki ambulan dari Hospital Klang. Ayah mengejar ambulan dari belakang dengan menaiki kereta Iswara Aeroback 1.3 ayah. Maklumlah tak biasa masuk KL. Walaubagaimanapun, ayah tidak dapat mengekori ambulan tersebut kerana beberapa faktor dan antaranya ialah pemandu di Malaysia memang pantang nampak ambulan sepantas kilat mereka akan follow dibelakang tanpa menghiraukan kenapa ambulan tersebut perlu bergerak laju dan siapakah yang mengekori ambulan itu dari belakang. Adakalanya mereka juga lambat ketepi untuk memberi laluan kepada ambulan tersebut. Dalam kesibukan dan ketergesaan itu, akhirnya ayah hanya mendengar bunyi siren dan terperangkap di dalam lautan jam yg hebat itu.

Kami dibawa ke IJN bersama Dr Faizal dari bahagian Paed GH Klang. Sampai di IJN, kami disambut oleh Dr Rozainah. Perawakannya agak tegas dan serius. Rupanya seakan ada kacukan dari bangsa Cina. Setelah membuat pemeriksaan awal Ajwad di masukkan ke wad untuk disediakan bagi membuat prosedur Cardio Cath esok. Untuk makluman, untuk mendapatkan tempat di IJN adalah seperti hendak booking hotel. IJN biasanya tidak menerima sebarang walk in kerana katil adalah terhad. Ajwad pun menunggu seminggu untuk diterima oleh IJN kerana tiada tempat untuknya. Namun, ia menjadi mudah untuk ajwad kerana beliau dirujuk oleh GH Klang.

Malam tersebut, Ajwad telah diletakkan di atas katil khas untuk baby born. Nurse memakaikan baju baby yg cantik untuknya. Keseluruhannya perkhidmatan di IJN amat memuaskan. Nurse cukup terlatih. Malam itu mereka mengambil sample darah Ajwad dan membuat line ditangan beliau. Berdebar menanti hari esok. Ya allah panjangkan umur anakku. Amin..

Friday, 30 January 2009

Bantuan dari Nenek Seranti, Tok Melaka, Pak Jaafar (Perubatan Alternatif)

Perubatan tradisional merupakan satu perubatan alternatif. Ayah mempunyai penggalaman yang sangat luarbiasa dan ‘Magic’ berkaitan ini dan kadang-kadang tak tercapai dek akal fikiran kita yang biasa ini. Kisah mereka ini ayah akan cerita sedikit demi sedikit di dalam cerita yang akan datang dimana mereka terlibat. Di sini ayah hanya berikan pengenalan kepada mereka sahaja

Mereka berdua ini adalah seperti yang kita lihat di dalam Expose Mistik dan Misteri Nusantara. Mereka ini berubat mengunakan ayat Al Quran bagaimanapun menggunakan perantaraan iaitu orang yang mereka telah pilih khas untuk berhubung dengan kami atau pesakit mereka. Masing-masing ada teknik tersendiri macamana untuk berhubung dengan mereka dari jauh. Untuk berhubung dengan Nenek Seranti memerlukan kemenyan manakala dengan Tok Melaka hanya dengan sms sahaja.

Untuk makluman sebenarnya pada hari kedua ayah telah mengetahui penyakit anak ayah melalui Pak Hamid perantara Nenek Seranti. Katanya sakit Ajwad ada kaitan dengan jantung cuma ayah yang tidak mengiyakannya kerana masih belum mendapatkan pengesahan doktor.


Perkenalan ayah dengan Nenek Seranti dan Pak Hamid bermula pada tahun 1994. Ketika itu ayah kemalangan motosikal di Pagoh,Muar dan agak parah kerana melibatkan kepala. Ayah pun sikit lagi nak dijemput tuhan ketika itu. Masa tu ayah koma dan hilang ingatan sedikit. Kepala ayah retak sedikit di sebelah kiri bahagian belakang dan ayah lumpuh sebelah muka di sebelah kiri. Sebaik sahaja doktor mengesahkan ayah masih bernyawa, Tok Wak segera berjumpa Pak Hamid meminta bantuan. Dengan zin Allah yang Maha Esa serta pertolongan mereka ayah sedar dari koma. Setelah keluar dari hospital ayah terus berubat dengan Nenek Seranti sehingglah sekarang.

Tok Melaka pula dikenalkan oleh Kak Dibah jiran kami. Ketika anak kami tengah nazak beliau telah memberikan nombor Hand Phone Tok Melaka untuk di SMS kerana kalau call dia tak jawab. Ayah pun cuba. Dari ketika itu berbagai perkara yang luarbiasa dan magic yang ayah saksikan sendiri di dalam perubatan alternatif ini. Selalunya apabila di SMS, Tok Melaka akan jawab, “Insyallah kami akan cuba”. Sebagai bapa yang anaknya seperti telur dihujung tanduk, jawapan sebegini sedikit sebanyak memberikan harapan untuk menempuh hari esok dan seterusnya.

Pengenalan dengan Pak Jaafar ialah pada ketika Ajwad di dalam IJN. Ketika itu Pak Jaafar melawat keluarganya di IJN dan setiap kali melawat beliau akan ke katil Ajwad sambil memerhatinya dengan pandangan yang sayu. Ketika itu saya menegur beliau dan bertanya khabar keluarga beliau. Beliau membalas teguran ayah dan dari situ bermulalah perkenalan kami.

Bagi ayah perubatan moden dan tradisional perlu berjalan seiring kerana ia saling lengkap melengkapi diantara lain. Tok Melaka menggunakan kaedah moden dengan alatan lektrik seperti alat urut dan lain-lain dan ayat Quran. Beliau juga ada reader tersendiri yang kita tidak nampak dan beliau boleh bagi tau dengan tepat ecg, kadar kalesterol, darah dll. Paling terkejut hingga penyebab kepada penyakit kita pun dia boleh bagitau. Contohnya ialah, ayah selalu sakit dan bisa badan. Adakah kerana ayah pernah cedera ketika kemalangan motosikal dahulu atau bermain ragbi ketika muda. Kata beliau, badan bisa kerana angin sejuk yang kena pada badan ketika ulang alik ketempat kerja dengan menaiki motosikal. Yang pelik siapa bagi tau dia ayah pergi kerja naik motosikal. ‘Magic’kan. Manakala Nek Seranti, 100% tradisional dengan akar kayu dan air penawar serta kemenyan. Pak Jaafar pula hanya dengan menggunakan dulang yang si sapukan minyak masak di atasnya dan bacaan doa. Pak Jaafar pun magic juga. Selepas dia menyapu minyak tersebut di seluruh badan Ajwad pantangnya ialah sesiapa yang memakai emas jangan menyentuh Ajwad. Nescaya barang kemas yang emas keemasan itu bertukar menjadi warna putih. Rakan sepejabat Kak Zamani Aishah pernah mengalaminya serta ibu mertua. Cincin mereka bertukar menjadi warna putih sebaik sahaja memegang Ajwad.

Hati Mula Membengkak

Ayah ke hospital lagi bersama ibu melawat Ajwad. Setelah mendapatkan pas pelepasan di kaunter ayah pun menyorong ibu dengan kerusi roda ke wad ICU kanak-kanak. Sesampainya di sana, alangkah terperanjatnya ayah melihat perut anak ayah membuncit sehingga menampakkan urat-uratnya. Badannya pula berwarna kuning dan ubat-ubatan di mesin ‘penyambung nyawanya’ semakin banyak.

Ayah terus bertanya nurse yang bertugas menjaga Ajwad, “ Mengapa perut anak saya membuncit macam ada sesuatu telah berlaku.” Nurse menjawab, “ Bersabarlah dan berdoa banyak-bayak encik, menurut laporan pakar, hati anak encik telah dijangkiti kuman, kerana itulah perutnya buncit. Kami telah cuba sedaya upaya”. Terduduk ayah bila mendengar kata nurse tersebut. Punca penyakit masih belum diketahui, tiba-tiba datang pulak penyakit lain yang kita tau memang biasanya siapa yang dapat jarang yang ada harapan. Air mata ayah sudah tiada (menangis di dalam hati saje), hanya ibu yang menangis hiba sambil membelai rambut anaknya.